Sunday 31 July 2011

MARHABAN YA RAMADAN



Insya Allah esok hari kita akan menyambut bulan Ramadan, bulan yang  dinanti-nanti oleh golongan yang beriman dan beramal soleh. Selamat datang Ramadan, bulan yang memberikan seribu makna dalam kehidupan orang Islam dan bulan yang sentiasa di tunggu-tunggu oleh sang pecinta Allah.
Adakah hatiku ini gembira dengan kedatangan Ramadan, jawapannya YA , kerana Ramadan akan memberi sinar baru dalam kehidupanku dan Ramadan adalah anugerah yang Allah berikan kepadaku dan hambanya sekalian untuk memperbaiki diri dan meningkatkan keimanan kepadaNya, Ya Allah kau berilah kepada ku kekuatan dalam menghadapi hari yang mendatang dan Kau jadikanlah Ramadan sebagai Madrasah kehidupanku selama sebulan ini dengan permulaannya penuh dengan rahmat manakala pertengahannya penuh dengan pengampunan dariMu dan pengakhirannya akan membebaskan diriku dari azab api neraka.
Ramadan ibarat bulan untuk kita mempersiapkan bekalan dan persiapan untuk menghadapi bulan selepasnya , ia ibarat mengumpulkan kuasa dan tenaga untuk digerakkan pada masa akan datang, inilah impianku Ya Rabbi jika bulan Ramadan adalah bulan untuk aku bersungguh dalam berpuasa, Insya Allah dibulan lain akanku amalkan amalan puasa yang dituntut melakukannya, jika bulan Ramadan adalah bulan untuk aku menumpukan diriku dengan Al-Quran, Insya Allah akan kutumpukan Al-Quran di bulan selepasnya dan Insya Allah akan menjadi tabiat dalam kehidupanku bersama dengan Al-Quran. 
Walaupun agak awal untuk mengatakan sedimikian, tetapi ini adalah perancanganku yang bersifat optimis dalam matlamat hidupku, sebenarnya inilah yang dituntut dalam Islam, Kenapakah ramai golongan ulama’ mengatakan Ramadan adalah suatu madrasah , kerana ianya mempunyai tempoh yang tertentu dan jangka masa yang singkat, dan Ramadan adalah bulan pertingkatkan amalan, kerana setiap amalan yang dilakukan didalam bulan ini samada ibadah Fardu atau ibadah sunnah ganjarannya sangat berlipat kali ganda , Inilah peluang dan keistimewaan yang Allah Taala anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W berbanding umat terdahulu. Rasulullah S.A.W Bersabda  :

من صام رمضان إيمانا وأحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه
Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa dibulan Ramadan penuh dengan keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah akan diampunkan dosa sebelumnya

من قام رمضان إيمانا وأحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه
Maksudnya : Sesiapa yang bangun beribadah di malam hari penuh dengan keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah akan diampunkan dosa sebelumnya.



للصائم فرحتان فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه
Maksudnya : Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan yang akan diterima, kegembiraan apabila berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Allah (atas amal soleh yang dilakukan)


            Inilah ganjaran istimewa yang Allah taala berikan kepada Hambanya yang bersungguh dalam mencari mardotillah. Tetapi ganjaran ini adalah khusus kepada hambanya yang sentiasa berada dijalan Allah iaitu yang Istiqamah dan thabat dalam perjuangan hidupnya . di sinilah kita dapat memahami bahawa madrasah Ramadan sebenarnya adalah latihan untuk kita menghadapi cabaran dibulan akan datang , apabila kita beribadah di bulan Ramadan dengan Ibadah yang ikhlas dan bersungguh-sungguh serta mengharapkan keredaan Allah , maka bukan setakat amalan kita diterima tetapi kita akan dapat meneruskan perjuangan kita dibulan selepasnya setelah kita melalui madrasah Ramadan dan inilah nilaian utama Allah taala terhadap hambanya.
            Inilah Impianku yang tersirat di hati ini, Ya Allah berikan kepadaku kekuatan untuk melalui madrasah Ramadan ini dengan hati yang sentiasa inginkan keredaan darimu, dengan hati yang ingin mengorbankan diri dijalanMu, dengan hati yang kuat diatas segala cabaran dan mehnah dalam kehidupanMu , dan dengan hati yang ingin sentiasa berada di jalanMu,  ku akhiri kalam ini dengan memetik satu amalan Rasulullah yang menjadi kekuatan pejuang Allah yang terus bersama dengan panji Islam :

قل آمَنْتُ بِاللهِ ثمَّ استَقِمْ
Maksudnya : Katakanlah Aku beriman denganMu Ya Allah kemudian akanku Istiqamah diatas JalanMu.

Friday 22 July 2011

Aku dan perjuanganku di Bumi Hang Tuah



Alhamdulillah , baru sahaja tiba dirumahku setelah menyertai satu perhimpunan Aman membantah tindakan kerajaam negeri Melaka yang meluluskan untuk memanjangkan tempoh operasi kelab malam sehingga jam 3pagi, perhimpunan ini diadakan oleh pemuda negeri atas ketidakpuasan tindakan dan keputusan kerajaan negeri yang dipimpin oleh YAB ketua menteri Melaka.

Kalau mahu dibandingkan perhimpunan aman di Kelantan , jauh berbeza betul dari segi sambutan , tetapi inilah dikatakan perjuangan anak-anak Melaka yang tidak mengira kuantiti tetapi mementingkan kualiti , memang tidak dapat dinafikan kuantiti sangat penting apatah lagi dimusim pilihanraya,tetapi ini adalah perjuangan yang mesti diteruskan , jika aku seorang pun , hatiku tetap membara memperjuangkan ketuanan Islam yang tercinta.

Alhamdulillah apabila tiba di Melaka aku sudah bersama dengan gerakan pemuda kawasan, dan sekarang sudahpun berkhidmat di salah sebuah sekolah milik jamaah ku, Insya Allah akanku serahkan jiwaku untuk mu Islam dan demi mempertahankan keizzahan Islam ,pengorbanan jiwa,harta dan masa akan menjadi agenda utamaku dalam menggerakkan usaha-usaha memperjuangkan agama Allah. Aku terkesan dengan satu ayat didalam surah At-Taubah ayat ke 41 ,Allah Taala berfirman

“ Berangkatlah kamu baik dalam Keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”.

Ya Allah! Sungguh berat tugasku ini , Inilah perjuanganku didunia untuk meraih ganjaran Di Akhirat. Kehidupan Di dunia adalah tempat persinggahan yang mempunyai misi yang perlu diusahakan untuk melaksanakannya, jika kehidupan ini tidak disemai dengan tarbiah dan dakwah ,bolehkah aku berbangga dengan mengatakan aku seorang muslim, Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat ke 110

“kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Ayat ini jelas menunjukkan kita adalah umat yang terbaik diantara manusia kerana kita menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran, berbalik soal keadaan dan situasi di Melaka , perhimpunan yang diadakan ini adalah kesinambungan kepada tanggungjawab kami terhadap kehidupan umat Islam bagi mewujudkan satu Biah Solehah, dalam kehidupan yang berbilang kaum kita tidak dapat menafikan hak-hak terhadap orang bukan Islam , tetapi kita tidak boleh membuat alasan dengan menghalalkan perkara yang jelas haram dalam Islam , dalam konteks ini kesedaran dan keberanian untuk menegur kerajaan adalah suatu tuntutan untuk memastikan tidak sewenangnya golongan jahiliyyah moden membuat kerosakan umat dimuka bumi Allah ini. Inilah perjuangan yang mesti diteruskan walaupun hanya sekolompok yang memikulnya tetapi kekuatan dan sokongan  dari langit menjadi kekuatan kami .

Ku pohon munajat dariMu Ya Allah Kau ampunkanlah dosa-dosaku dan kau berilah satu anugerah kepadaku dengan hadiah Istiqamah dalam perjuanganMu bagi menegakkan AgamaMu Ya Allah.Ya Allah kau lindungilah ku ini dari segala fitnah dan kemaksiatan yang sentiasa bermaharajalela di dalam jiwa hambaMu yang Leka dan lalai, Kau jauhkannya dariku dan Kau kurniakanlah teman-temanku yang sentiasa menegurku dan membimbingku dalam perjuanganMu. Ya Allah Kau berilah Hidayah kepada keluargaku Khusus kepada Ibu dan bapaKu dan juga kepada kedua adindaku agar mereka dapat bersamaku dalam melayari bahtera perjuangan hingga ke penghujuang kehidupan ku. Amin.

Wednesday 6 July 2011

Mahasiswa dan BERSIH

Kelompok mahasiswa disebutkan sebagai pelapis kepimpinan Negara. Tak kurang juga dengan frasa mahasiswa sebagai rakan kepimpinan Negara. Apa juga istilah dan frasa yang diberikan, apakah ianya betul atau hanya perkataan manis mendodoi mahasiswa kita?

Jika dikatakan mahasiswa sebagai pewaris kepimpinan Negara, persoalannya ialah Negara yang bagaimana yang bakal diwarisi oleh mahasiswa sekarang? Adakah kita akan mewarisi Negara yang penuh dengan hutang, fitnah berleluasa, kebejatan masalah murtad, kebanjiran pekerja asing yang menjadi liabiliti, dan kemusnahan sistem pilihanraya dan media? Persoalan ini mesti dijawab oleh mahasiswa dan anak muda sekarang.

Mahasiswa menjadi rakan kepimpinan Negara, merupakan frasa yang cukup hebat bunyinya. Apa yang dimaksudkan dengan memimpin? Mungkin juga rakan kepimpinan Negara ini ialah mahasiswa hanya perlu ikut dan patuh dengan segala dasar dan program yang dianjurkan, barulah digelar menjayakan kepimpinan Negara? Jika ini maksudnya, maka meleset sekali pandangannya. Rakan kepimpinan mestilah mesti menjadikan mahasiswa sebagai rakan kongsi idea dan pandangan dalam apa juga perkara. Jangan disempitkan ruang berfikir mahasiswa yang pada hari ini dikekang oleh seksyen 15 AUKU yang jelas menghalang mahasiswa dalam berpatisipasi dalam medan politik. Menjadi tanggungjawab mahasiswa untuk memberikan idea dan pandangan sendiri khususnya dalam menjawab kepada persoalan masa depan Negara kerana pemain utama Negara pada masa depan Negara ialah mahasiswa pada hari ini.

Himpunan BERSIH adalah suatu usaha menjayakan pengamalan demokrasi dan menjernihkan proses pilihanraya yang ada. Pilihanraya menjadi penentu kepada pemimpin Negara yang akan ‘memandu’ Negara pada masa hadapan. Jika pemandu yang mabuk dan tidak mempunyai lesen diberikan untuk memegang ‘stering’ kerajaan, maka tunggulah kemalangan dahsyat yang akan berlaku. Pada hari ini pun kita boleh melihat kemalangan-kemalangan yang berlaku dengan ketirisan perbelanjaan wang Negara dan salahguna kuasa yang menjadi biasa dikalangan pemimpin.

Maka mahasiswa perlu ‘menegur’ kesalahan dan kelompangan ini dengan turun bersama dengan rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bersih untuk menjamin masa depan Negara tercinta ini. Mahasiswa perlu menentukan masa depan kita dengan tindakan berani pada hari ini, supaya si pengecut dan perompak segera lari dari bumi Malaysia ini. Jangan kita biarkan kepimpinan Negara ini ditentukan oleh warga asing yang didaftarkan sebagai pengundi, sebaliknya kita turun bersama BERSIH untuk menolak mereka sebagai pengundi yang boleh memusnahkan Negara. Turunnya mahasiswa dalam himpunan BERSIH sebagai tanda patriotik kita kepada negara dengan menolak warga asing sebagai penentu masa depan Negara. Membiarkan warga asing menentukan kepimpinan Negara kita adalah tindakan yang paling tidak bermaruah. Turun BERSIH simbol kita petahan maruh.

Mahasiswa bijak menilai dengan aqal yang sempurna, buang sifat pentingkan diri untuk perjuangan keadilan yang menjadi teras kepada perjuangan Islam. Kehadiran mahasiswa pada himpunan BERSIH bakal menjadi petrol yang akan menambahkan lagi semarak api menuntut keadilan dan kebebasan untuk Malaysia. Seluruh rakyat Malaysia bercakap soal BERSIH, takkan mahasiswa hendak berdiam diri? ‘Student power’ adalah kuasa keberanian mahasiswa. Ayuh teman-teman kita nyatakan pendirian.

Penulis adalah Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia ( GAMIS )