Saturday 15 October 2011

IBRAH AYAT 13 DAN 14 DALAM SURAH AL-KAHFI


سورة الكهف
بسم الله الرحمن الرحيم
(نحن نقص عليك نبأهم بالحق إنهم فتية ءامنوا بربهم وزدناهم هدى (13

وربطنا على قلوبهم إذ قاموا فقالوا ربنا رب السماوات والأرض لن ندعوا من دونه إِلًاهًا لقد قلنا إذا شططا(14)

            Alhamdulillah, kali ini saya akan berkongsi dalam penulisan saya ini berkenaan dengan Ibrah dan istifadah(pengajaran) yang boleh di jadikan panduan dalam kehidupan kita tentang pengajaran ayat 13 dan 14 dalam surah Al-kahfi. Ayat ke 13 ini sering dijadikan pembakar semangat kepada sekalian pemuda Islam yang berjuang dalam misi perjuangan mereka dalam meninggikan kalimah Allah taala samada di peringkat mahasiswa atau badan-badan yang menjadikan wasilah Islam sebagai asas utama perjuangan mereka, dan saya juga memang terkesan sejak di bangku sekolah lagi.

            Ayat ke 13 ini juga menerangkan bagaimana Allah Taala menceritakan  perihal segolongan pemuda yang ditambah iman mereka dalam menempuhi cabaran kehidupan berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Ayat ini juga memberikan rangsangan kepada kita bahawa pemuda adalah agen penggerak yang terpenting dalam mengembangkan dan mempertahankan syariat Islam, kita boleh melihat dizaman Rasululllah golongan pemudalah diantara yang awal bersama Rasulullah dalam memperjuangan seruan Islam, maka lahirlah tokoh-tokoh pemuda seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang 3 tahun lebih muda daripada Rasulullah S.A.W , Saidina Umar Al-Khattab yang memeluk Islam ketika berumur 27 tahun, Saidina Usman Bin Affan lebih muda daripada Rasulullah dan Saidina Ali yang termuda dikalangan mereka, begitu juga Abdullah Bin Mas’ud, Abd Rahman Bin Auf , Bilal Bin Rabah, Mus’ab Bin Umair dan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus lagi dari kalangan sahabat semuanya adalah pemuda. Sedangkan generasi tua daripada kalangan Quraisy secara umumnya mereka lebih memilih untuk tetap memeluk agama mereka dan hanya segelintir sahaja yang memeluk Islam.


            Untuk mengukuhkan lagi peranan pemuda dalam medan dakwah saya mendatangkan sebuah wasiat Rasulullah ditujukan khusus kepada pemuda :

أوصيكم بالشباب خيرا فأنهم أرق أفئدة ، لقد بعثني بالحنفية السمحة ، فحالفني الشباب ، وخالفني الشيوخ
Maksudnya : “Aku berpesan kepada kamu supaya berbuat baik kepada golongan pemuda, kerana sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah Taala telah mengutuskan aku membawa agama hanafiah lalu para pemudalah yang bersama dan bergabung denganku manakala orang-orang tua (kaum kafir Quraisy) menentang aku.

            Hadith ini jelas memberikan pengiktirafan kepada pemuda betapa berharganya pemuda dalam menjadi penggerak utama mengembangkan syariat Islam. Begitulah yang berlaku kepada Ashabul Kahfi , Iman mereka begitu kental dan kuat mempertahankan Aqidah dan kesucian agama Allah ketika itu. Sehinggakan Allah taala membimbing dan  menyelamatkan mereka sekali gus mengangkat darjat keimanan mereka sebagai golongan yang ditambah iman atas ketakwaan dan pengorbanan yang telah mereka lakukan.

            Ayat ke 14 pula menerangkan kecekalan dan kekuatan hati mereka menyebabkan Allah taala menjadikan mereka bersabar dan berani menentang kaum mereka sendiri dan mereka sanggup meninggalkan kampung halaman mereka dan meninggalkan kehidupan yang menyenangkan semata-mata menyahut seruan Ilahi, lalu mereka berkata : Tuhan kami ialah tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi, kami sekali-kali tidak akan menyembah tuhan yang lain daripadanya, jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran.

            Begitulah ungkapan mereka yang tercatat didalam surah al-kahfi, ungkapan ini sangat memberikan gambaran keimanan yang tinggi dan kecekalan yang kuat terdapat dalam diri mereka. Saya ingin mengajak kepada pembaca untuk mengambil ibrah dalam ayat ini dengan mengfokuskan kepada Ukhuwwah yang terbina dikalangan ashabul kahfi. Ketika mana mereka meninggalkan perayaan kaumnya yang sangat tersasar dengan agama Allah, ada antara mereka yang melarikan diri dan ada juga yang mengasingkan diri. Saat itu, orang yang pertama duduk sendirian ialah seorang daripada pemuda beriman yang berteduh di bawah sepohon pokok, lalu datangla mereka yang lainnya turut duduk bersama-sama.Kemudian diikuti seorang demi seorang, tanpa ada seorang pun daripada mereka yang saling mengenali antara satu sama lain. Yang menyatukan hati mereka tidak lain adalah keimanan.

            Inilah hakikat Ukhuwwah yang mesti dibina dikalangan penggerak Islam, Keimanan menjadi asas kepada penyatuan hati dengan kehendak Allah taala yang mengizikannya. Dan inilah prasyarat dalam memastikan keutuhan Ukhuwwah yang dijalin dengan mengharapkan keredaan Ilahi. Marilah sama-sama kita merenung sepotong ayat al-Quran didalam surah Al-Anfal:

وألف بين قلوبهم لو انفقت ما في الأرض جميعا ما ألفت بين قلوبهم ولكن الله ألف بينهم (63)

Maksudnya: Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.

            Ayat ini menjadi bukti yang kukuh bahawa Ukhuwwah yang dibina mestilah bertunjangkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, sehingga Allah sahaja  yang akan menyatukan kita  dan mengukuhkan keimanan yang ada pada jiwa-jiwa kita, perkara inilah yang berlaku kepada ashabul kahfi, mereka disatukan dengan dasar keimanan walaupun mereka tidak pernah bertemu dan tidak mengenali antara satu sama lain, tetapi disebabkan  sehati dan sejiwa yang ada dalam diri mereka Allah Taala mempertemukan mereka dan menyatukan mereka dibawah naungan rahmat ilahi.

            Akhir sekali, marilah sama-sama kita mengambil iktibar atas kisah yang berlaku pada golongan ashabul kahfi , moga ianya memberi manfaat dan rangsangan dalam pengabdian diri kepada Nya,Wallahua’lam…………………………



Segala perkongsian ,cadangan dan teguran amat dialukan untuk sama-sama kita membina suasana ilmiah dalam kehidupan ……………………….
        

No comments:

Post a Comment