Sunday 26 June 2011

Sekitar persoalan mengenai TARBIAH


Apabila saya membaca saranan atau taujihat Tarbawi yang dikeluarkan oleh Lajnah Tarbiah sebuah gerakan Islam yang mashur di Malaysia ini yang bertarikh 1 Muharam 1409 Hijrah bersamaan 14 ogos 1988 Miladi (agak detail sikit sebagai bukti), saya terfikir untuk menulis tentang beberapa kaitan yang bersangkut paut dengan persoalan tarbiah.
Dalam kehidupan kita tarbiah merupakan satu elemen yang penting dalam memastikan kelancaran perjalanan seorang Hamba Allah. Ini kerana kehidupan seorang Mu’min diibaratkan dalam sebuah Hadith yang sohih :
الدنيا سجن المؤمنين وجنّة الكافرين
Maksudnya : Dunia ini adalah penjara bagi orang beriman dan Merupakan Syurga bagi orang- orang kafir
Kefahaman tentang hadith ini jelas menunjukkan bahawa kehidupan orang Mukmin sentiasa diuji dan menerima segala cabaran,dugaan,halangan,mehnah dan segala bentuk cubaan yang memberikan tekanan dalam mengharungi segala liku-liku kehidupan, sedangkan orang-orang kafir sentiasa mendapat tuah dan senang menikmati kehidupan dunia. Kita boleh melihat fenomena yang berlaku dizaman sekarang, kemunduran dan penindasan yang menimpa umat Islam didunia ini. Kemunduran pula kita boleh membahagikannya dengan dua bahagian jika kita melihat  kemunduran umat Islam hanya pada material ataupun hidup mereka, ini adalah suatu yang tidak adil kerana di Negara orang bukan Islam juga berlaku masalah kemunduran hidup dari segi material, tetapi yang ingin saya tekankan adalah kemunduran dari sudut spiritual iaitu soal akhlak dan keperibadian umat Islam sekarang.
            Adakah ini adalah bukti bahawa umat Islam mundur dan terkebelakang? Ini bukan persoalannya kerana ianya suatu sunnatullah dan musibah yang telah ditetapkan oleh Allah taala supaya umat Islam berfikir, dan inilah suatu tarbiah yang Allah Taala berikan kepada kita supaya kita senantiasa berusaha dan mencari jalan untuk menyelesaikannya dengan baik.
            Tarbiah merupakan proses pembentukan syakhsiah diri kearah melahirkan Insan yang mampu menjalankan tanggungjawabnya terhadap agama Allah ,Tarbiah bukan diwaktu belajar sahaja samada ketika dibangku sekolah atau semasa di Institusi pengajian tinggi atau ketika di pengajian pondok bukan sekadar itu sahaja, tetapi tarbiah adalah sepanjang kehidupan kita dan jika kita berada di posisi mana sekalipun diatas atau dibawah, tarbiah tetap bersama kita, jika kita sedar ataupun tidak sedar. Kerana ia adalah pandangan sebenar dan nilaian utama disisi Allah  kepada hambanya kerana matlamat dan dasar tarbiah adalah memastikan setiap muslim berpegang dengan Agama Allah diatas segala tindak tanduknya dalam kehidupan mahupun tugas dan jawatan yang dipegangnya didunia. Ingatlah Firman Allah Taala

وقل اعملوا فسيرى الله عملكم..............الخ
Maksudnya : Dan katakanlah (wahai Muhammad) : Beramal kamu (segala perintah Allah) Allah   Taala akan melihat segala amalan dan pekerjaan kamu.                 
(Surah At-Taubah : 105)

Jika kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam urusan dunia dengan memastikan unsur kerohanian dan syariat Islam sebagai asas dan panduan kehidupan, kita akan Berjaya melaksanakannya bahkan kita akan meletakkan Islam sebuah Agama yang releven dan syumuliah dalam segenap aspek  kehidupan , inilah yang ditunjukkan oleh seorang tokoh gerakan Islam di mesir Imam As-Syahid Hasan al-Banna dengan beliau memberikan penta’rifan Islam didalam Usul Isyrin yang pertama :
الإسلام نظام شامل يتناول مظاهر الحياة جميعا
Maksudnya : Islam merupakan suatu perundangan yang merangkumi segenap aspek kehidupan
Tarbiah merupakan asas dan pokok dalam kehidupan kita , jika kita mengganggap kehidupan kita ini adalah untuk menyempurnakan tuntutan dunia sahaja tanpa menganggap bahawa segala bentuk cabaran dan ujian ini adalah bukan suatu proses pentarbiahan, sebenarnya kefahaman kita tentang Islam belum jelas dan barangkali kita berada di zon yang sangat bahaya jikalau kita tersilap langkah maka kemurkaan Allah  akan kita hadapinya, ketika itu segala tindak-tanduk perlakuan kita Allah taala tidak akan pandang malah Istidraj akan kita terimanya dalam keadaan tidak sedar .
Memetik Suatu ungkapan seorang aktivis Islam yang syahid di tali gantung “Tidak ada jemaah  tanpa adanya tanzim(organisasi), dan tidak ada tanzim tanpa adanya tarbiah” Inilah luahan seorang pejuang yang menjadikan tarbiah adalah sebahagian daripada kehidupannya sehingga dia telah syahid di tali gantung semata-mata memegang kuat prinsipnya yang ingin memertabatkan Islam, walaupun diberi peluang untuk dibebaskan dari penjara dan  di lepaskan tuduhannya dengan cara mengubah prinsip penulisan penanya dia tetap enggan dan terus tsabat dalam mengatakan yang hak inilah bukti seorang pejuang Islam yang menjadikan tarbiah adalah sebagai tunjang dan akar gerak kerja  dalam memikul amanah Allah yang berat .   , walaupun kata-kata ini adalah luahan hatinya bukan dari nas yang sohih, tetapi ia mengambarkan prinsipnya dan prinsip sebenar mukmin sejati yang senantiasa bersedia dan bertahan atas segala ujian dan cabaran dalam kehidupannya mahupun masalah yang dihadapi diperingkat dalaman ataupun luaran ia adalah suatu proses pentarbiahan yang mesti ditempuhi oleh pejuang-pejuang Islam untuk memastikan keizzahan Islam dapat ditegakkan semula.

Akhir kata, Tarbiah Adalah suatu proses untuk mengangkat darjat hambaNya kepada insan yang terpilih dan dijanjikan oleh Allah di hari akhirat , maka berusahalah menerima dan bersedia menghadapi segala bentuk cabaran kehidupan di dunia ini kerana dunia merupakan tempat untuk kita bercucuk tanam dan membawa hasilnya ke akhirat nanti . Wallahu A’lam




Bersambung ke episode seterusnya……………(x habis lagi la nak tulisnye)