Friday 22 July 2011

Aku dan perjuanganku di Bumi Hang Tuah



Alhamdulillah , baru sahaja tiba dirumahku setelah menyertai satu perhimpunan Aman membantah tindakan kerajaam negeri Melaka yang meluluskan untuk memanjangkan tempoh operasi kelab malam sehingga jam 3pagi, perhimpunan ini diadakan oleh pemuda negeri atas ketidakpuasan tindakan dan keputusan kerajaan negeri yang dipimpin oleh YAB ketua menteri Melaka.

Kalau mahu dibandingkan perhimpunan aman di Kelantan , jauh berbeza betul dari segi sambutan , tetapi inilah dikatakan perjuangan anak-anak Melaka yang tidak mengira kuantiti tetapi mementingkan kualiti , memang tidak dapat dinafikan kuantiti sangat penting apatah lagi dimusim pilihanraya,tetapi ini adalah perjuangan yang mesti diteruskan , jika aku seorang pun , hatiku tetap membara memperjuangkan ketuanan Islam yang tercinta.

Alhamdulillah apabila tiba di Melaka aku sudah bersama dengan gerakan pemuda kawasan, dan sekarang sudahpun berkhidmat di salah sebuah sekolah milik jamaah ku, Insya Allah akanku serahkan jiwaku untuk mu Islam dan demi mempertahankan keizzahan Islam ,pengorbanan jiwa,harta dan masa akan menjadi agenda utamaku dalam menggerakkan usaha-usaha memperjuangkan agama Allah. Aku terkesan dengan satu ayat didalam surah At-Taubah ayat ke 41 ,Allah Taala berfirman

“ Berangkatlah kamu baik dalam Keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”.

Ya Allah! Sungguh berat tugasku ini , Inilah perjuanganku didunia untuk meraih ganjaran Di Akhirat. Kehidupan Di dunia adalah tempat persinggahan yang mempunyai misi yang perlu diusahakan untuk melaksanakannya, jika kehidupan ini tidak disemai dengan tarbiah dan dakwah ,bolehkah aku berbangga dengan mengatakan aku seorang muslim, Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat ke 110

“kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Ayat ini jelas menunjukkan kita adalah umat yang terbaik diantara manusia kerana kita menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran, berbalik soal keadaan dan situasi di Melaka , perhimpunan yang diadakan ini adalah kesinambungan kepada tanggungjawab kami terhadap kehidupan umat Islam bagi mewujudkan satu Biah Solehah, dalam kehidupan yang berbilang kaum kita tidak dapat menafikan hak-hak terhadap orang bukan Islam , tetapi kita tidak boleh membuat alasan dengan menghalalkan perkara yang jelas haram dalam Islam , dalam konteks ini kesedaran dan keberanian untuk menegur kerajaan adalah suatu tuntutan untuk memastikan tidak sewenangnya golongan jahiliyyah moden membuat kerosakan umat dimuka bumi Allah ini. Inilah perjuangan yang mesti diteruskan walaupun hanya sekolompok yang memikulnya tetapi kekuatan dan sokongan  dari langit menjadi kekuatan kami .

Ku pohon munajat dariMu Ya Allah Kau ampunkanlah dosa-dosaku dan kau berilah satu anugerah kepadaku dengan hadiah Istiqamah dalam perjuanganMu bagi menegakkan AgamaMu Ya Allah.Ya Allah kau lindungilah ku ini dari segala fitnah dan kemaksiatan yang sentiasa bermaharajalela di dalam jiwa hambaMu yang Leka dan lalai, Kau jauhkannya dariku dan Kau kurniakanlah teman-temanku yang sentiasa menegurku dan membimbingku dalam perjuanganMu. Ya Allah Kau berilah Hidayah kepada keluargaku Khusus kepada Ibu dan bapaKu dan juga kepada kedua adindaku agar mereka dapat bersamaku dalam melayari bahtera perjuangan hingga ke penghujuang kehidupan ku. Amin.

No comments:

Post a Comment