Wednesday, 26 October 2011

NIKMATNYA KESIBUKAN DALAM JAMAAH (Siri 1)

Assalamualaikum sidang pembaca , Insya Allah kali ini penulis ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat semua mengenai nikmatnya kesibukan dalam kerja jamaah. Jamaah yang saya maksudkan adalah penggerak Islam dan islah kepada masyarakat , xkira lah jamaah mana sekalipun samada PAS ,Umno ehh (x termasuk ye), JIM, IKRAM, ISMA, ABIM  dan semua organisasi yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai دستر  (perlembagaan) mereka, saya bersetuju dan meraikan jamaah-jamaah lain selain PAS kerana Imam Hassan Al-Banna pun mengiktiraf jamaah lain selain daripada Ikhwan Al-Muslimun

نحن جماعة من جماعة الإسلام

Berjamaah Hindari Kemabukan Maksiat

YA memang benar !!! tidak dinafikan wahai pembaca sekalian, apabila kita disibukkan dengan kerja jamaah dan selalu bersama penggerak dan pendokong jamaah, kita akan dapat menjauhkan diri kita dari perlakuan maksiat, ini kerana ruh dan semangat perjuangan sesebuah gerakan Islam adalah bersandarkan kepada kecintaan kepada Allah dan tanggungjawab meninggikan Islam , dengan ini sebarang bentuk kecenderungan kepada maksiat akan lemah dan lenyap diatas kepatuhan kita terhadap konsep Taat dan takut kepda Allah walau dimana pun berada . penulis akan  mengukuhkan hujah dengan membawa sepotong Hadith Rasulullah :

فعليكم بالجماعة ، فأنما يأكل الذئب من غنم القاصية

(رواه  أحمد وابو داود والحاكم وهذا صحيح)


Maksudnya : Maka wajib keatas kamu berjamaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan  memakan kambing yang bersendirian .

Hadith ini adalah ketegasan Rasulullah kepada umatnya untuk solat berjamaah kerana sebelum rangkai hadith ini diceritakan bagaiman kelalaian umat terhadap solat jamaah diatas kejahatan syaitan yang menguasai mereka. Ayat ini juga memberi pengajaran kepada kita bahawa ketika mana kita keseorangan dan tidak  terlibat dengan jamaah Islam, kita akan mudah terpengaruh dan leka dengan kenikmatan dunia yang di cerminkan oleh Syaitan , kerana kita tidak merasai tekanan dan tidak mempunyai tanggungjawab mengembangkan islam , apatah lagi mempertahankannya.


Keterangan hadith ini jelas menunjukkan bahawa golongan yang bersama jamaah mempunyai kekuatan iman yang tinggi dan mempunyai sinergi luarbiasa diantara mereka dalam melaksanakan perintah Allah, ini kerana kesibukan mereka dalam usaha-usaha dakwah menjadikan kecenderungan kehidupan mereka menampakkan apa yang mereka  laksanakan dalam tugasan seharian, maka ketika itu tiadalah suara-suara hawa nafsu yang menginginkan maksiat terbuku dalam jiwa mereka dan ketaatanlah menjadi sumber inspirasi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab .


Pengajaran Hadith ini juga memberi tamparan yang hebat kepada penggerak jamaah, kenapa saya berkata demikian? Kerana orang yang terlibat dengan gerakan Islam mestilah memelihara solat mereka dan sentiasa berjamaah dimasjid. Hadith ini adalah peringatan Rasulullah kepada umatnya agar menjadikan solat jamaah sebagai rutin kehidupan mereka. Tambahan pula insan yang bergelar pejuang Islam, kerana solat jamaah adalah sumber kekuatan dan mengecaskan kembali iman kita. Jika budaya ini tidak ada dalam diri seorang penggerak Islam , MALULAH DIRI SENDIRI WAHAI SAHABATKU . Bersambung ……………………………

Sunday, 16 October 2011

Akhirnya kutemui Al-Ghazali (Saifulislam.com)


Pagi itu semasa saya sedang sibuk dengan urusan di pejabat, saya menerima panggilan telefon daripada Encik Saharom, Ketua Editor Majalah I. Beliau meminta supaya saya menulis satu tajuk yang amat membingungkan. Selalunya saya menawarkan diri menulis tajuk-tajuk yang saya mahir, tetapi kali ini Encik Saharom meminta saya mempertahankan seorang tokoh yang tidak saya kenali iaitu Imam Ghazzali!
Terkasima saya seketika… masa yang diberikan untuk menyiapkan artikel tersebut adalah dua minggu.
“Minta maaf Encik Saharom, dua minggu tidak mungkin bagi saya untuk memenuhi permintaan ini”. Akhirnya dua minggu tersebut berubah menjadi dua bulan!
Saya sudah mengetahui tentang Imam Ghazzali semenjak saya di bangku sekolah rendah lagi. Arwah Abah mengumpul duit berbulan-bulan untuk membeli kitab terjemahan Ihya’ Ulumiddin dan saya cuba berkongsi pembacaan dengan arwah Abah. Namun usia terlalu muda pada masa itu dan arwah Abah kembali kepada Allah ketika saya dengannya sudah mula berjinak-jinak dan lunak dengan Ihya’.
Apabila saya melanjutkan pelajaran ke Jordan, saya membina persepsi separa sedar tentang Imam Ghazzali. Saya tahu beliau seorang tokoh agung di dalam Islam, beliau adalah hujah Islam, beliau adalah nama yang tidak boleh dipinggirkan oleh penuntut ilmu Islam. Namun semasa itu saya kecewa kerana saya gagal menghayati di manakah sebenarnya kehebatan Imam Ghazzali. Punca utama kegagalan saya pada masa itu adalah berkisah kepada dua persoalan iaitu kelemahan hadith di dalam penulisan Imam Ghazzali dan yang keduanya ialah soal Falsafah.
Saya rasa tersentuh dengan kitab Ihya tetapi saya terganggu dengan hadith-hadith di dalam kitab tersebut. Banyak sekali hadith yang saya tidak kenal dan tidak tahu di mana hendak mencari maklumat mengenai statusnya. Saya amat bimbang membiarkan diri saya tersentuh oleh ‘rasa’ yang ketara di dalam kitab Ihya’ kerana bagi saya, ia adalah suatu gerak hati yang amat mudah untuk dicengkam belitan tipu daya Iblis. Masakan tidak, solat di rumah terasa khusyu’, solat di masjid sering terganggu. Mulut bau petai, stokin jemaah busuk, penuh tahi cicak dan macam-macam gangguan solat di masjid. Maka jika hendak mengikut ‘rasa’, akhirnya dengan mudah saya boleh mengambil keputusan untuk solat sahaja di rumah, dan… menanglah syaitan di dalam tipu dayanya.
Manakala soal kedua, Jordan tidak menyediakan subjek Falsafah bagi pelajar Syariah. Saya pernah belajar ilmu logik semasa di sekolah menengah, sebagai muqaddimah kepada Falsafah. Saya juga tahu ilmu Falsafah itu penting terutamanya ketika mendengar huraian-huraian Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang banyak menggunakan suntikan Falsafah. Falsafah Tuan Guru mudah, tajam dan konklusif. Tetapi tidak di Jordan. Saya mendapat persepsi yang negatif terhadap Falsafah dan saya memang membencinya. Tambahan pula, pensyarah-pensyarah yang mengajar subjek Falsafah di universiti sering kelihatan ‘ego’ dengan falsafah mereka seolah-olah orang lain tiada kualiti intelek.
Saya cuba menghadiri satu dua kuliah Falsafah di fakulti lain namun saya tenggelam punca. Tetapi kerana sedar tentang perlunya saya mendapatkan asas Falsafah, akhirnya saya membeli beberapa buah buku berkaitan Falsafah. Mudah-mudahan kalau saya tidak membacanya hari ini, mungkin suatu hari nanti saya memerlukannya. Tetapi ada suatu buku yang menarik perhatian saya iaitu kitab Qissatul Iman oleh Sheikh Nadim al-Jisr. Di dalam kitab tersebut saya membaca tentang perjalanan penulisnya di dalam kembara mempelajari ilmu Falsafah. Dari Afghanistan, beliau merantau ke Asia Tengah dan akhirnya tok guru beliau berpesan, “Falsafah ini adalah lautan. Jika kamu berlayar di permukaannya, kamu akan bertemu dengan ribut taufan yang menggila dan kamu boleh karam. Tetapi jika kamu menyelam hingga ke dasarnya, maka kamu akan bertemu khazanah berharga yang tersimpan di perut lautan itu”. Wah, saya amat terkesan dengan kenyataan itu dan ia menjadikan saya termenung berhari-hari sehingga akhirnya saya luahkan kebuntuan fikiran dengan menulis sajak “Riwayat Aku Sebagai Air”.
Namun saya masih tidak dapat menyelesaikan krisis saya terhadap Imam Ghazzali. Saya difahamkan oleh rakan-rakan, majalah, diskusi dll, bahawa Ibnu Taimiyah dan Imam Ghazzali sama-sama pakar di dalam Falsafah. Tetapi Ibnu Taimiyah mempelajari Falsafah untuk menghancurkan Falsafah, manakala Imam Ghazzali mempelajari Falsafah dan dia tenggelam di dalam Falsafah!
TIDAK MENELAN BULAT-BULAT
Hmm, saya tidaklah menelan bulat-bulat kenyataan ini tetapi saya membiarkan masa berlalu tanpa membuat pemeriksaan lanjutan. Terlalu banyak agenda kehidupan dan akhirnya ‘terkilan’ saya terhadap Imam Ghazzali terbiar begitu sahaja. Saya terkilan kerana saya tahu dia hebat, namun saya tidak tahu di mana kehebatannya. Saya tahu kitab Ihya beliau adalah kitab tajdid di zamannya tetapi saya tidak tahu di mana keagungan kitab tersebut. Puncanya masih berlegar pada dua isu tadi; hadith dan Falsafah. Namun saya bersyukur kerana sistem pengajian di Jordan menjadikan saya terdidik untuk amat kasih dengan semua ulama’, tidak taasub dengan mana-mana tokoh walau sehebat mana, hingga boleh membutakan mata dari mencari kebenaran. Saya selesa dengan Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim, saya juga tenang membaca hasil Imam Maturidi malah al-Buti di dalam kitabnya Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah. Saya boleh bersikap adil terhadap Muhammad bin Abdul Wahhab walaupun saya amat obsess dengan Daulah Othmaniyyah yang dimusuhi oleh Muhammad bin Abdul Wahhab.
Tetapi saya mahu mengasihi Imam Ghazzali sedangkan saya tidak tahu di mana lubuk cintanya. Saya mahu berbaik sangka dengan al-Ghazzali terhadap kelemahan-kelemahannya tetapi saya tidak tahu apa alasannya…
Perasaan itu terpendam di dalam diri hinggalah akhirnya saya diminta bangun dan membela Imam Ghazzali yang diserang oleh Astora Jabat! Walaupun saya tidak begitu arif tentang asas perbalahan Imam Ghazzali dengan al-Farabi dan Ibn Sina, namun untuk membiarkan Astora Jabat menghukum Imam Ghazzali sebagai berdosa besar kerana menghukum kafir kepada al-Farabi dan Ibn Sina pada tiga isu (alam qadim, Tuhan tidak mengetahui hal yang juz’ie dan manusia bangkit di Mahsyar dengan roh tanpa jasad), ia adalah sesuatu yang keterlaluan. Malah Astora Jabat menuduh al-Ghazzali telah melakukan ‘keganasan pemikiran’. Aduh, najis apa yang mahu ditabur oleh Astora Jabat kali ini? Saya kepanasan tetapi saya tidak kenal siapa al-Ghazzali dan saya tidak tahu bagaimana saya hendak membela dan mempertahankannya.
KEMBARA BERMULA
Di sinilah kembara saya mencari al-Ghazzali bermula. Syukur Alhamdulillah, saya berikan kredit kepada Fitrah Perkasa, tempat saya bekerja. Kami banyak menjadikan bahan Imam Ghazzali sebagai asas pembangunan modul. Kitab Ihya, Kimiyaa’ as-Saadah, Ayyuhal Walad dan sebagainya menjadi rujukan. Namun saya belum benar-benar dapat melihat manhaj al-Ghazzali. Tetapi sekurang-kurangnya kehebatan Imam Ghazzali mula terserlah sedikit demi sedikit.
Apabila Encik Saharom meminta saya menulis, saya berazam untuk mengambil peluang ini sebagai dorongan saya mendalami Falsafah dan al-Ghazzali. Kitab-kitab Falsafah yang saya beli 8 tahun yang lalu, saya punggah dari rak buku dan saya berulang ke kedai buku sekitar Kuala Lumpur untuk mencari bahan. Saya perlu mengetahui secara lengkap tentang al-Ghazzali, Aristotle, Plato, al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd dan huraian-huraian yang huru-hara di dalam memahami asas neo-Platonian, Aristotalian serta cabang-cabang tajuk yang lain. Walaupun mungkin tulisan saya untuk Majalah I pendek sahaja, namun prinsip saya ialah seorang penulis mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Jika seorang penulis lebih banyak menulis daripada membaca, maka itulah saat-saat bangkrap seorang penulis. Saya perlu memahami sesuatu tajuk secara menyeluruh, kemudian barulah saya boleh membuat keputusan tentang banyak manakah hasil pembacaan saya itu yang hendak dikeluarkan sebagai artikel penulisan.
UJIAN MASA
Saya tersedar di dalam kembara ini bahawa upaya saya di dalam pembacaan sudah tidak seperti dulu. Saya keluar rumah untuk ke pejabat pada jam 7:15 pagi. Saya sampai ke rumah pada sebelah petang pula ialah sekitar 7:15 petang. Saya mesti meluangkan masa berinteraksi dengan isteri dan anak-anak sebelum mereka tidur, khususnya anak sulung saya yang sedang membesar dan ‘banyak tanya’. Apabila jam mencecah 10:30 malam, saya pula sudah terlalu letih untuk membaca. Itu jika saya tidak berkuliah. Banyak hari yang saya perlu ke masjid-masjid untuk mengajar. Kerja saya di Fitrah Perkasa pula menuntut saya untuk out station sehingga 15 hari sebulan malah pernah mencecah 22 hari pada bulan Jun yang lalu. Iaitu bulan saya dihubungi oleh Encik Saharom. Akhirnya masa yang ada pada saya hanya dua. Pertamanya perjalanan pulang di dalam LRT iaitu antara Stesyen Taman Melati dan KLCC (selepas KLCC, tren sudah terlalu padat dan tidak sesuai untuk membaca buku). Manakala masa kedua ialah bangun seawal 4 pagi untuk membaca dan menulis. Itulah sahaja masa yang ada dan saya menginsafi hal masa ini sehingga pernah saya coretkan dalam pesanan kepada rakan-rakan yang masih di bangku pengajian universiti, supaya memanfaatkan masa dengan membaca malah terasa lebih utama membanyakkan pembacaan semasa menjadi pelajar, berbanding dengan membanyakkan sembahyang sunat!
Dua bulan saya cuba membaca, memahami, mencari forum-forum online di internet untuk berbincang tentang Falsafah dan Imam Ghazzali. Terdetik hati untuk berhubung dengan rakan-rakan yang kini sudah bergelar pensyarah dan doktor di universiti, namun diri rasa terlalu kerdil untuk mengajak ahli akademik berkongsi buah fikiran.
PENEMUAN TERBESAR MENJELANG USIAKU 30
Setelah berhempas pulas membaca, akhirnya saya menemui jawapan yang dicari selama ini. Hasil tulisan saya telah pun tersiar di dalam majalah I keluaran September 05. Saya simpulkan sedikit di sini dan artikel penuhnya akan saya muatkan di Saifulislam.Com pada pertengahan bulan ini Insya Allah.
Pada saya, Imam Ghazzali sebenarnya sama sahaja dengan Ibn Taimiyah di dalam soal Falsafah. Kedua-dua mereka mempelajari Falsafah kerana mahu menghancurkan ilmu yang telah menipu umat Islam ini. Akan tetapi Imam Ghazzali lebih berjaya kerana Ibn Taimiyah tidak pernah dianggap sebagai ahli Falsafah oleh ahli Falsafah. Oleh yang demikian, penulisan beliau yang hebat tidak dipedulikan oleh ahli Falsafah kerana beliau bukan sebahagian mereka. Namun Imam Ghazzali menggunakan pendekatan yang bijaksana. Beliau menulis sebuah buku yang telah menyerlahkan kehebatan beliau di dalam bidang Falsafah iaitu melalui kitab pertamanya di bidang ini, Maqasid al-Falasifah. Janganlah sekali-kali disangka bahawa buku ini adalah sebuah buku yang hanya sejilid. Maksud saya, buku ini adalah bahagian pertama daripada penulisan al-Ghazzali. Beliau tidak mengkritik Falsafah di dalam buku ini atas hikmah-hikmah yang besar. Kerana buku ini, ahli Falsafah mengagumi Imam Ghazzali dan menganggapnya sebagai tokoh penting dan hebat. Manakala bagi sesetengah orang, buku ini menjadi alasan untuk mengkritik Imam Ghazzali kerana beliau dianggap sebaris sahaja dengan ahli Falsafah lain lantaran buku tersebut yang menjadi rujukan Falsafah.
Akan tetapi, Imam Ghazzali menyambung tulisannya di dalam Maqasid al-Falasifah itu di dalam buku kedua beliau iaitu Tahafut al-Falasifah. Di dalam kitab inilah Imam Ghazzali menghentam habis-habisan ilmu Falsafah yang cuba mengatasi wahyu. Soal Fizik dan cabang Falsafah yang lain, Imam Ghazzali menerima bahkan menyanjungnya. Cuma Falsafah yang cuba menganalisa Tuhan dan Ketuhanan itulah yang ditentangnya. 3 kufur dan 17 bid’ah, itulah kesimpulan al-Ghazzali di dalam kitabnya itu. Akibat buku ini, Imam Ghazzali benar-benar telah membinasakan momentom kaki Falsafah di kalangan umat Islam tersebut. Malah tokoh-tokoh Falsafah sedunia bersetuju bahawa kitab Tahafut itu telah menghancur leburkan Falsafah di dalam tamadun Islam dan gagal dibangkitkan semula walaupun oleh usaha Ibn Rushd melalui bukunya Tahafut al-Tahafut, iaitu buku yang ditulis untuk mengkritik pandangan al-Ghazzali. Maka helah al-Ghazzali lebih berjaya berbanding dengan Ibn Taimiyah. Al-Ghazzali memulakan serangannya dengan meletakkan dirinya di tengah-tengah kelompok ahli Falsafah. Apabila mereka menerima dan mula menyanjung al-Ghazzali, maka barulah beliau mengeluarkan taringnya. Hanya jauhari yang kenal manikam!
Wah, gembiranya saya dengan hal ini. Saya gembira kerana saya dapat memahami al-Ghazzali. Saya gembira kerana saya yakin Imam Ghazzali bukanlah seperti yang saya faham selama ini. Malah saya tidak lagi perlu berbaik sangka sebab Imam Ghazzali memang baik, memang hebat dan sememangnya Hujjatul Islam.
Malah hati saya terus tersentuh di antara sedih dan gembira, pilu dan kagum terhadap Imam al-Ghazzali. Saya membaca kembara hidupnya dan saya amat pilu melihat Imam Ghazzali yang hebat itu masih terus mencari-cari suatu kesimpulan kepada ilmunya. Beliau telah menjadi ulama seperti yang biasa di zaman itu. Beliau juga sudah menghalusi soal pendidikan hati, beliau juga pernah terjun di medan Falsafah, namun akhirnya Imam Ghazzali menghabiskan sisa usianya dengan mendalami ilmu Hadith. Beliau berusaha gigih untuk mengatasi kelemahannya di dalam ilmu Hadith dan ini membawanya kepada menuntut ilmu Sahih al-Bukhari dan Muslim melalui Hafiz ‘Amr ibn Abi al-Hasan al-Rawasi. Jika Imam Ghazzali sendiri mengakui kelemahannya di dalam ilmu Hadith dan telah cuba mengatasinya sehingga ke akhir-akhir hayat beliau, maka saya dengan sendirinya dapat menilai bagaimana sepatutnya saya membaca kitab Ihya’ secara adil.
Kata Ibn Jawzi di dalam Ithaf as-Saadah:
“Hari itu hari Isnin. Dia (al-Ghazzali) bangkit pada waktu Subuh, berwudhu’ dan menunaikan sembahyang subuh. Kemudian dia meminta supaya dibawakan kepadanya kain kapan beliau. Sambil mengambilnya, dia mencium kain kapan itu serta meletakkannya pada mata beliau lalu berkata, “Aku tunduk kepada perintah Tuhanku”. Kemudian beliau berbaring sambil mengadapkan mukanya ke arah Qiblat dengan meregangkan kakinya. Apabila orang ramai memeriksanya, al-Ghazzali sudah meninggal dunia”.
Terhambur air mata saya di suatu subuh yang hening. Semoga al-Ghazzali ditempatkan Allah di makam yang mulia dan terpuji, bersama-sama ulama Islam yang lain, yang telah mewakafkan hidup mereka membimbing umat dan meneruskan misi Nubuwwah Rasulullah SAW.
Berhari-hari saya tersenyum sendirian kerana Tuhan telah membantu saya untuk mengenali al-Ghazzali. Ketika di usia 20, saya dapat menyelesaikan pandangan saya terhadap khalifah Islam terakhir iaitu Sultan Abdul Hamid II dan di usia 30, saya diizinkan Allah mengenali, menghargai dan menghormati Imam al-Ghazzali.
Walaupun maklumat saya tidaklah seberapa dan artikel saya di dalam Majalah I itu belumlah tentu dapat menutup mulut Astora Jabat atau benar-benar cukup untuk mempertahankan al-Ghazzali dari serangan Islam Liberal di Malaysia ini, namun sedikit sebanyak saya sudah cukup gembira mengenali al-Ghazzali. Saya benar-benar sudah dapat merasakan kehebatan al-Ghazzali dan saya mahu segera pulang ke Ipoh untuk ke pusara arwah Abah. Akan saya nyatakan di pusaranya, “Abah, Imam Ghazzali yang menulis kitab Ihya dulu, memang hebat!”
Akhirnya kutemui al-Ghazzali….
Abu Saif @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
31 Ogos 2005

Saturday, 15 October 2011

IBRAH AYAT 13 DAN 14 DALAM SURAH AL-KAHFI


سورة الكهف
بسم الله الرحمن الرحيم
(نحن نقص عليك نبأهم بالحق إنهم فتية ءامنوا بربهم وزدناهم هدى (13

وربطنا على قلوبهم إذ قاموا فقالوا ربنا رب السماوات والأرض لن ندعوا من دونه إِلًاهًا لقد قلنا إذا شططا(14)

            Alhamdulillah, kali ini saya akan berkongsi dalam penulisan saya ini berkenaan dengan Ibrah dan istifadah(pengajaran) yang boleh di jadikan panduan dalam kehidupan kita tentang pengajaran ayat 13 dan 14 dalam surah Al-kahfi. Ayat ke 13 ini sering dijadikan pembakar semangat kepada sekalian pemuda Islam yang berjuang dalam misi perjuangan mereka dalam meninggikan kalimah Allah taala samada di peringkat mahasiswa atau badan-badan yang menjadikan wasilah Islam sebagai asas utama perjuangan mereka, dan saya juga memang terkesan sejak di bangku sekolah lagi.

            Ayat ke 13 ini juga menerangkan bagaimana Allah Taala menceritakan  perihal segolongan pemuda yang ditambah iman mereka dalam menempuhi cabaran kehidupan berhadapan dengan pemerintah yang zalim. Ayat ini juga memberikan rangsangan kepada kita bahawa pemuda adalah agen penggerak yang terpenting dalam mengembangkan dan mempertahankan syariat Islam, kita boleh melihat dizaman Rasululllah golongan pemudalah diantara yang awal bersama Rasulullah dalam memperjuangan seruan Islam, maka lahirlah tokoh-tokoh pemuda seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang 3 tahun lebih muda daripada Rasulullah S.A.W , Saidina Umar Al-Khattab yang memeluk Islam ketika berumur 27 tahun, Saidina Usman Bin Affan lebih muda daripada Rasulullah dan Saidina Ali yang termuda dikalangan mereka, begitu juga Abdullah Bin Mas’ud, Abd Rahman Bin Auf , Bilal Bin Rabah, Mus’ab Bin Umair dan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus lagi dari kalangan sahabat semuanya adalah pemuda. Sedangkan generasi tua daripada kalangan Quraisy secara umumnya mereka lebih memilih untuk tetap memeluk agama mereka dan hanya segelintir sahaja yang memeluk Islam.


            Untuk mengukuhkan lagi peranan pemuda dalam medan dakwah saya mendatangkan sebuah wasiat Rasulullah ditujukan khusus kepada pemuda :

أوصيكم بالشباب خيرا فأنهم أرق أفئدة ، لقد بعثني بالحنفية السمحة ، فحالفني الشباب ، وخالفني الشيوخ
Maksudnya : “Aku berpesan kepada kamu supaya berbuat baik kepada golongan pemuda, kerana sesungguhnya hati mereka paling lembut. Sesungguhnya Allah Taala telah mengutuskan aku membawa agama hanafiah lalu para pemudalah yang bersama dan bergabung denganku manakala orang-orang tua (kaum kafir Quraisy) menentang aku.

            Hadith ini jelas memberikan pengiktirafan kepada pemuda betapa berharganya pemuda dalam menjadi penggerak utama mengembangkan syariat Islam. Begitulah yang berlaku kepada Ashabul Kahfi , Iman mereka begitu kental dan kuat mempertahankan Aqidah dan kesucian agama Allah ketika itu. Sehinggakan Allah taala membimbing dan  menyelamatkan mereka sekali gus mengangkat darjat keimanan mereka sebagai golongan yang ditambah iman atas ketakwaan dan pengorbanan yang telah mereka lakukan.

            Ayat ke 14 pula menerangkan kecekalan dan kekuatan hati mereka menyebabkan Allah taala menjadikan mereka bersabar dan berani menentang kaum mereka sendiri dan mereka sanggup meninggalkan kampung halaman mereka dan meninggalkan kehidupan yang menyenangkan semata-mata menyahut seruan Ilahi, lalu mereka berkata : Tuhan kami ialah tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi, kami sekali-kali tidak akan menyembah tuhan yang lain daripadanya, jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran.

            Begitulah ungkapan mereka yang tercatat didalam surah al-kahfi, ungkapan ini sangat memberikan gambaran keimanan yang tinggi dan kecekalan yang kuat terdapat dalam diri mereka. Saya ingin mengajak kepada pembaca untuk mengambil ibrah dalam ayat ini dengan mengfokuskan kepada Ukhuwwah yang terbina dikalangan ashabul kahfi. Ketika mana mereka meninggalkan perayaan kaumnya yang sangat tersasar dengan agama Allah, ada antara mereka yang melarikan diri dan ada juga yang mengasingkan diri. Saat itu, orang yang pertama duduk sendirian ialah seorang daripada pemuda beriman yang berteduh di bawah sepohon pokok, lalu datangla mereka yang lainnya turut duduk bersama-sama.Kemudian diikuti seorang demi seorang, tanpa ada seorang pun daripada mereka yang saling mengenali antara satu sama lain. Yang menyatukan hati mereka tidak lain adalah keimanan.

            Inilah hakikat Ukhuwwah yang mesti dibina dikalangan penggerak Islam, Keimanan menjadi asas kepada penyatuan hati dengan kehendak Allah taala yang mengizikannya. Dan inilah prasyarat dalam memastikan keutuhan Ukhuwwah yang dijalin dengan mengharapkan keredaan Ilahi. Marilah sama-sama kita merenung sepotong ayat al-Quran didalam surah Al-Anfal:

وألف بين قلوبهم لو انفقت ما في الأرض جميعا ما ألفت بين قلوبهم ولكن الله ألف بينهم (63)

Maksudnya: Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka.

            Ayat ini menjadi bukti yang kukuh bahawa Ukhuwwah yang dibina mestilah bertunjangkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, sehingga Allah sahaja  yang akan menyatukan kita  dan mengukuhkan keimanan yang ada pada jiwa-jiwa kita, perkara inilah yang berlaku kepada ashabul kahfi, mereka disatukan dengan dasar keimanan walaupun mereka tidak pernah bertemu dan tidak mengenali antara satu sama lain, tetapi disebabkan  sehati dan sejiwa yang ada dalam diri mereka Allah Taala mempertemukan mereka dan menyatukan mereka dibawah naungan rahmat ilahi.

            Akhir sekali, marilah sama-sama kita mengambil iktibar atas kisah yang berlaku pada golongan ashabul kahfi , moga ianya memberi manfaat dan rangsangan dalam pengabdian diri kepada Nya,Wallahua’lam…………………………



Segala perkongsian ,cadangan dan teguran amat dialukan untuk sama-sama kita membina suasana ilmiah dalam kehidupan ……………………….
        

Friday, 14 October 2011

Amalan Sunnah yang DIPINGGIRKAN!!!!

Alhamdulillah baru sahaja dapat meluangkan masa dalam penulisan blog ini setelah lebih 2bulan menyepi. Kali ini saya mahu berkongsi berkenaan budaya masyarakat kita (Melayu) yang suka mengagungkan amalan-amalan yang sebenarnya tiada asas kekuatan dalilnya . saya mengharapkan pembaca supaya jangan cepat melabelkan saya dengan tuduhan yang tidak memberikan manfaat sesama  kita. Apa yang saya utarakan ini adalah fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita . Saya mengfokuskan terus dengan sebahagian masyarakat kita yang menjadikan amalan membaca Yasin di malam jumaat sebagai amalan yang tetap mingguan dengan tanpa merujuk kepada sumber yang sohihah .

Disebabkan perkara ini masyarakat kita meninggalkan amalan sunnah yang sohih iaitu amalan membaca surah Al-Kahfi pada hari jumaat , malah jika ditanya sebahagian masyarakat mereka tidak akan mengetahui kelebihan dan keutamaan membaca surah Al-Kahfi berbanding dengan surah yasin,  .saya merujuk dalam sebuah hadith  yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak , Rasulullah bersabda dengan bermaksud [1] : Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a daripada Nabi S.A.W sabdanya : Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari jumaat, nescaya ada cahaya akan meneranginya antara dua jumaat (yakni selama seminggu), Hadith ini diletakkan oleh Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani sebagai hasan dan disohihkan oleh al-Hakim.

Merujuk kepada hadith yang saya bawakan ini, amalan yang sangat baik dan utama pada hari jumaat khususnya malamnya adalah dengan kita mengamalkan bacaan surah al-kahfi, bukan bacaan yasin, malahan hadith yang menganjurkan kita membaca surah yasin kerana ada kelebihannya apatah lagi pada hari jumaat adalah tidak berasas dan banyak ulama' menghukumkan hadith itu berstatus daif dan maudu',Ibnu Jauzi mengatakan dalam kitabnya al-Maudhua't keseluruhan sumber hadith adalah batil dan tidak ada asal sumbernya.  begitu juga hadith yang mengatakan Surah Yasin merupakan hati Al-Quraan , menurut Az-Zahabi hadith ini adalah palsu kerana terdapat perawi hadith ini adalah pendusta, boleh rujuk dalam kitab karangannya Mizan Al-I'tidal.

Kenyataan saya ini bukanlah mahu menimbulkan ketegangan masyarakat berhubung isu ini, apa yang saya mahukan adalah biarlah kita beribadah berdasarkan sumber yang sohihah yang keasliaannya daripada ajaran Rasulullah S.A.W. Dan perkara ini juga bukan menjadi alasan untuk saya mengatakan bacaan yasin pada malam jumaat itu adalah suatu yang BIDAAH, bukan itu maksud saya.  Kita mahu baca, bacalah sehingga boleh dijadikan sebagai amalan harian kita, tetapi janganlah kita berkeras hati dengan menafikan amalan yang lebih baik dianjurkan pada waktu itu, Di sini  suka saya menceritakan sedikit intipati surah Al-kahfi .

 Saya berpandukan dalam sebuah buku yang sangat baik untuk bacaan kita dalam menerangkan kandungan dan istifadah surah al-kahfi yang boleh kita jadikan sebagai tambahan ilmu kita[2],Surah al-Kahfi merupakann surah yang ke -18 dalam Al-Quran. Ia dikategorikan surah Makkiyyah yang mengandungi 110 ayat, antara perbincangan yang ada dalam surah ini adalah :

·   Tauhid kepada Allah, dan kepercayaan terpesong golongan kafir yang mengatakan tuhan   mempunyai anak.

·    Kisah Ashab al-kahfi , iaitu pemuda-pemuda beriman yang melarikan diri untuk  menyelamatkan akidah mereka daripada kekejaman pemerintah yang zalim iaitu raja DAQYANUS yang menyuruh rakyatnya mengadakan upacara ritual untuk menyembahnya.

·         Kisah Nabi Musa  mencari Ilmu bertemu dengan Nabi Khidir

·       kisah teguran Allah Taala kepada Nabi S.A.W jangan mementingkan orang terkemuka sahaja dalam berdakwah .

·         Kisah Zulqarnain dengan Yakjuj dan Makjuj.


           Untuk yang terakhirnya , saya mengharapkan penulisan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat bahawa ibadah yang dilakukan tanpa berdasarkan ilmu dan asas yang sohih, sebenarnya memberikan kesan yang negatif kepada kita akibatnya amalan yang jelas kesahihahannya akan terkubur disebabkan perbuatan bidaah yang kita lakukan. Oleh kerana itu saya menyerukan kepada diri saya dan sahabat sekalian marilah sama-sama kita mengembalikan ketulenan ISLAM dengan melaksanakan tuntutannya dengan baik dan memberikan suatu perhatian dalam perlaksanaan ibadah kita , dan Ingatlah tugas kita di dunia terlalu banyak dan penuh pancaroba, jika kita tidak berpaksikan dengan akidah yang mantap, kefahaman yang jelas dalam perjuangan hidup kita, ini bermakna kita telah mengkhianati janji kita kepada tuhan yang menciptakan alam dan DIA jugalah yang menentukan nasib kita di dunia dan di akhirat. Wallahua'lam.



Segala komen dan perkongsian ataupun teguran sangat2 dialukan untuk sama-sama kita membudayakan ilmu dalam kehidupan kita , SALAM PERJUANGAN ……………………………………………….


[1] Maaf saya tidak letakkan lagi softwere Arabic (baru Format Laptop)
[2] Memahami Keindahan SURAH AL_KAHFI , Ust Hj M. Zamri M.Zainuddin dan Ust Hj. M.Wahid Abd Hanif

       Keterangan mengenai kedaifan dan hadith palsu berkaitan dengan kelebihan surah Yasin dan Hadith tentang hati Al-quran adalah surah yasin , saya merujuk dalam kitab 40 hadith palsu yang ditulis oleh seorang Pensyarah dari di kolej Islam Antarabangsa, Selangor. Sahabat boleh dapatkannya di kedai buku , buku itu terbitan PTS, Buku ini sangat baik , kerana ia merupakan perbincangan Ilmiah yang sangat mendalam dalam ketulenan Hadith.  

Sunday, 31 July 2011

MARHABAN YA RAMADAN



Insya Allah esok hari kita akan menyambut bulan Ramadan, bulan yang  dinanti-nanti oleh golongan yang beriman dan beramal soleh. Selamat datang Ramadan, bulan yang memberikan seribu makna dalam kehidupan orang Islam dan bulan yang sentiasa di tunggu-tunggu oleh sang pecinta Allah.
Adakah hatiku ini gembira dengan kedatangan Ramadan, jawapannya YA , kerana Ramadan akan memberi sinar baru dalam kehidupanku dan Ramadan adalah anugerah yang Allah berikan kepadaku dan hambanya sekalian untuk memperbaiki diri dan meningkatkan keimanan kepadaNya, Ya Allah kau berilah kepada ku kekuatan dalam menghadapi hari yang mendatang dan Kau jadikanlah Ramadan sebagai Madrasah kehidupanku selama sebulan ini dengan permulaannya penuh dengan rahmat manakala pertengahannya penuh dengan pengampunan dariMu dan pengakhirannya akan membebaskan diriku dari azab api neraka.
Ramadan ibarat bulan untuk kita mempersiapkan bekalan dan persiapan untuk menghadapi bulan selepasnya , ia ibarat mengumpulkan kuasa dan tenaga untuk digerakkan pada masa akan datang, inilah impianku Ya Rabbi jika bulan Ramadan adalah bulan untuk aku bersungguh dalam berpuasa, Insya Allah dibulan lain akanku amalkan amalan puasa yang dituntut melakukannya, jika bulan Ramadan adalah bulan untuk aku menumpukan diriku dengan Al-Quran, Insya Allah akan kutumpukan Al-Quran di bulan selepasnya dan Insya Allah akan menjadi tabiat dalam kehidupanku bersama dengan Al-Quran. 
Walaupun agak awal untuk mengatakan sedimikian, tetapi ini adalah perancanganku yang bersifat optimis dalam matlamat hidupku, sebenarnya inilah yang dituntut dalam Islam, Kenapakah ramai golongan ulama’ mengatakan Ramadan adalah suatu madrasah , kerana ianya mempunyai tempoh yang tertentu dan jangka masa yang singkat, dan Ramadan adalah bulan pertingkatkan amalan, kerana setiap amalan yang dilakukan didalam bulan ini samada ibadah Fardu atau ibadah sunnah ganjarannya sangat berlipat kali ganda , Inilah peluang dan keistimewaan yang Allah Taala anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W berbanding umat terdahulu. Rasulullah S.A.W Bersabda  :

من صام رمضان إيمانا وأحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه
Maksudnya : Sesiapa yang berpuasa dibulan Ramadan penuh dengan keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah akan diampunkan dosa sebelumnya

من قام رمضان إيمانا وأحتسابا غفرله ما تقدم من ذنبه
Maksudnya : Sesiapa yang bangun beribadah di malam hari penuh dengan keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah akan diampunkan dosa sebelumnya.



للصائم فرحتان فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه
Maksudnya : Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan yang akan diterima, kegembiraan apabila berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Allah (atas amal soleh yang dilakukan)


            Inilah ganjaran istimewa yang Allah taala berikan kepada Hambanya yang bersungguh dalam mencari mardotillah. Tetapi ganjaran ini adalah khusus kepada hambanya yang sentiasa berada dijalan Allah iaitu yang Istiqamah dan thabat dalam perjuangan hidupnya . di sinilah kita dapat memahami bahawa madrasah Ramadan sebenarnya adalah latihan untuk kita menghadapi cabaran dibulan akan datang , apabila kita beribadah di bulan Ramadan dengan Ibadah yang ikhlas dan bersungguh-sungguh serta mengharapkan keredaan Allah , maka bukan setakat amalan kita diterima tetapi kita akan dapat meneruskan perjuangan kita dibulan selepasnya setelah kita melalui madrasah Ramadan dan inilah nilaian utama Allah taala terhadap hambanya.
            Inilah Impianku yang tersirat di hati ini, Ya Allah berikan kepadaku kekuatan untuk melalui madrasah Ramadan ini dengan hati yang sentiasa inginkan keredaan darimu, dengan hati yang ingin mengorbankan diri dijalanMu, dengan hati yang kuat diatas segala cabaran dan mehnah dalam kehidupanMu , dan dengan hati yang ingin sentiasa berada di jalanMu,  ku akhiri kalam ini dengan memetik satu amalan Rasulullah yang menjadi kekuatan pejuang Allah yang terus bersama dengan panji Islam :

قل آمَنْتُ بِاللهِ ثمَّ استَقِمْ
Maksudnya : Katakanlah Aku beriman denganMu Ya Allah kemudian akanku Istiqamah diatas JalanMu.

Friday, 22 July 2011

Aku dan perjuanganku di Bumi Hang Tuah



Alhamdulillah , baru sahaja tiba dirumahku setelah menyertai satu perhimpunan Aman membantah tindakan kerajaam negeri Melaka yang meluluskan untuk memanjangkan tempoh operasi kelab malam sehingga jam 3pagi, perhimpunan ini diadakan oleh pemuda negeri atas ketidakpuasan tindakan dan keputusan kerajaan negeri yang dipimpin oleh YAB ketua menteri Melaka.

Kalau mahu dibandingkan perhimpunan aman di Kelantan , jauh berbeza betul dari segi sambutan , tetapi inilah dikatakan perjuangan anak-anak Melaka yang tidak mengira kuantiti tetapi mementingkan kualiti , memang tidak dapat dinafikan kuantiti sangat penting apatah lagi dimusim pilihanraya,tetapi ini adalah perjuangan yang mesti diteruskan , jika aku seorang pun , hatiku tetap membara memperjuangkan ketuanan Islam yang tercinta.

Alhamdulillah apabila tiba di Melaka aku sudah bersama dengan gerakan pemuda kawasan, dan sekarang sudahpun berkhidmat di salah sebuah sekolah milik jamaah ku, Insya Allah akanku serahkan jiwaku untuk mu Islam dan demi mempertahankan keizzahan Islam ,pengorbanan jiwa,harta dan masa akan menjadi agenda utamaku dalam menggerakkan usaha-usaha memperjuangkan agama Allah. Aku terkesan dengan satu ayat didalam surah At-Taubah ayat ke 41 ,Allah Taala berfirman

“ Berangkatlah kamu baik dalam Keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui”.

Ya Allah! Sungguh berat tugasku ini , Inilah perjuanganku didunia untuk meraih ganjaran Di Akhirat. Kehidupan Di dunia adalah tempat persinggahan yang mempunyai misi yang perlu diusahakan untuk melaksanakannya, jika kehidupan ini tidak disemai dengan tarbiah dan dakwah ,bolehkah aku berbangga dengan mengatakan aku seorang muslim, Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat ke 110

“kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Ayat ini jelas menunjukkan kita adalah umat yang terbaik diantara manusia kerana kita menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran, berbalik soal keadaan dan situasi di Melaka , perhimpunan yang diadakan ini adalah kesinambungan kepada tanggungjawab kami terhadap kehidupan umat Islam bagi mewujudkan satu Biah Solehah, dalam kehidupan yang berbilang kaum kita tidak dapat menafikan hak-hak terhadap orang bukan Islam , tetapi kita tidak boleh membuat alasan dengan menghalalkan perkara yang jelas haram dalam Islam , dalam konteks ini kesedaran dan keberanian untuk menegur kerajaan adalah suatu tuntutan untuk memastikan tidak sewenangnya golongan jahiliyyah moden membuat kerosakan umat dimuka bumi Allah ini. Inilah perjuangan yang mesti diteruskan walaupun hanya sekolompok yang memikulnya tetapi kekuatan dan sokongan  dari langit menjadi kekuatan kami .

Ku pohon munajat dariMu Ya Allah Kau ampunkanlah dosa-dosaku dan kau berilah satu anugerah kepadaku dengan hadiah Istiqamah dalam perjuanganMu bagi menegakkan AgamaMu Ya Allah.Ya Allah kau lindungilah ku ini dari segala fitnah dan kemaksiatan yang sentiasa bermaharajalela di dalam jiwa hambaMu yang Leka dan lalai, Kau jauhkannya dariku dan Kau kurniakanlah teman-temanku yang sentiasa menegurku dan membimbingku dalam perjuanganMu. Ya Allah Kau berilah Hidayah kepada keluargaku Khusus kepada Ibu dan bapaKu dan juga kepada kedua adindaku agar mereka dapat bersamaku dalam melayari bahtera perjuangan hingga ke penghujuang kehidupan ku. Amin.